Terhalang daripada menderma...

Kadang-kadang ada kebaikan aku rancang untuk lakukan disusuli dengan beberapa perancangan bagaimana aku akan hebahkan pada orang lain. Ada juga kebaikan yang dilakukan adalah serta-merta secara spontan. Sekali-sekala aku akan memerhati persekitaran apabila hendak melakukan kebaikan kerana risau dihakimi orang, membuatkan aku jalankannya sama ada secara tersembunyi atau sepantas mungkin. 

Alkisahnya, aku diajak oleh sahabatku untuk melakukan pendermaan darah. Dia ada nyatakan bahawa keputusan kekutuban suatu jenis darah akan turut diberikan setelah kita menderma darah. Aku sudah lama ingin mengetahui sama ada darahku jenis O+ ataupun O-. Namun, menyedari betapa sedikitnya pemilik darah O- di sekitar Asia membuatkan aku rasa aku ni O+. Aku pernah menderma di tanah airku dahulu jadi aku ingin ambil kesempatan untuk lakukan di sini pula. Aku tertarik dengan inisiatif pertubuhan pengutip darah di sini di mana mereka wujudkan bank darah dengan lebih giat disertai pendaftaran ahli.

Setelah selesai mendaftar secara atas talian, aku menunggu hari-hari bagi aku menderma darah kelak. Aku sudah mula terbayang untuk poskan gambar aku menderma darah di samping beberapa kapsyen di instagram story. Pada hari pendermaan darah, aku tiba awal di pusat selepas tamat kelas syarahanku yang pertama. Aku bawa bekalan makanan yang banyak untuk bekalkan tenaga tambahan. Selepas menjawab beberapa soal selidik atas talian di pusat tersebut, jawapan aku dimasukkan ke dalam akaunku dan aku disoal kembali dengan lebih teliti selanjutnya oleh jururawat yang bertugas.

Setelah diperinci, mereka dapati aku bukan warganegara Daun Merah dan mendapati aku berasal dari Tanah Airku. Rupanya Tanah Airku disenaraikan sebagai kawasan yang disyaki mempunyai penyakit Malaria. Jadi, mereka yang tidak menetap di empat buah bandar terkemuka di sana akan ditahan daripada menderma selama 3 tahun. Meskipun tempat lahirku tersenarai(dengan ejaan yang salah), aku menyatakan bahawa aku hanya tinggal di sana selama 4 tahun, dan kemudian mula berpindah-randah. Namun begitu, tempat tinggalku yang terkini masih merupakan sebuah bandar. Pada mulanya aku berasa aku pasti terlepas kerana sahabatku telah berjaya menderma di sini pada beberapa bulan yang lalu. Tapi, nada suara jururawat tersebut bertukar jadi memujuk serta sayu dan mula meminta maaf. 

Dia berterima kasih kerana aku sudi datang. Aku terkejut, lalu menyatakan rasa hairan bagaimana sahabatku boleh terlepas. Kemudian aku pulang menuju ke kelas dengan rasa kecewa kerana tidak dapat menderma darah. Aku habiskan bekalan makananku, sambil berfikir... Kenapa aku berasa kecewa? Adakah aku kecewa kerana tidak dapat memberitahu dunia perbuatanku? Atau aku kecewa kerana aku terhalang daripada melakukan kebaikan? Bukankah aku sepatutnya berasa lega? Jadi, dari manakah datangnya keikhlasan? Adakah ikhlas itu boleh hadir pada perbuatan yang belum dilakukan lagi? Perlukan rasa kecewa apabila terkecuali daripada berbakti? Adakah ia rasa tanggungjawab atau sekadar daripada norma masyarakat Melayu? 

Pada petang tersebut, sahabatku memberitahuku bahawa akaun dia telahpun ditahan daripada menderma selama 3 tahun. Aku memohon maaf padanya... Aku akan beringat bahawa aku tidak sepatutnya menjadi terlalu lurus bendul apabila berurusan dengan orang lain.Wallahua'lam~ 

Comments

Popular posts from this blog

Grimgar, Abu serta Khayalan

Hari Kedua dan Ketiga MASISUPA~