Grimgar, Abu serta Khayalan


Baiklah, kali ini merupakan post reviu anime pertama daripada aku. Aku mungkin akan lakukan lebih banyak reviu mengenai anime sebagai penghargaan aku terhadap minat menonton kartun animasi daripada Jepun ini. Aku ingin kongsikan pengajaran yang aku dapat daripada menonton anime kerana karya daripada Jepun ini bukan untuk tontonan kanak-kanak sahaja, tapi sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat. Malah, untuk orang dewasa sahaja pun ada. Oleh itu, setiap kali sebelum aku saksikan suatu siri anime itu, aku akan lakukan sedikit kajian supaya apa yang aku saksikan berbaloi dengan masa yang aku luangkan.

Hai to Gensou no Grimgar merupakan sebuah siri bergenre yang agak popular belakangan ini dalam industri anime; iaitu genre Dunia Lain. Protagonis adalah insan yang datang dari dunia lain lalu memulakan hidup baharu dengan pengembaraan yang luar biasa. Namun, apa yang membuatkan aku tertarik dengan anime ini, adalah watak utama tidak dikurniakan dengan kekuatan yang melampau (OP) dan dia bersama-sama dengan teman baharunya terpaksa menjalani kehidupan yang serba susah, tanpa sebarang memori silam dari dunia asal mereka. Selain daripada menjadi karakter, Haruhiro turut memainkan peranan sebagai seorang narrator kepada cerita ini. Hal ini membuatkan aku dapat menghayati dengan lebih mendalam apa yang dialami mereka seolah-olah aku sebahagian daripada kumpulan mereka.

Lukisan anime ini agak unik di mana penggunaan warna air membuatkan anime ini artistik dan tidak terlalu menonjol. Namun, pencahayaan yang digunakan agak terang kadang-kadang membuatkan aku agak silau dengan pemandangan persekitaran yang dipaparkan. Muzik adalah satu kelebihan yang anime ini miliki di mana ia menggunakan banyak lagu bertema desa dan sentimental. Petikan gitar yang kerapkali dimainkan sering membuai aku dalam perasaan tenang dan apabila sesuatu yang serius berlaku, perasaan-perasaan daripada karakter disampaikan dengan penuh emosi. Pemikiran mereka juga ditonjolkan daripada pelbagai perspektif, membuatkan aku terbuka minda untuk memahami sebab kepada tindakan mereka. Perwatakan semua karakter sangat bervariasi dan mempu buat aku suka dan juga benci sesetengah daripada mereka. Tambahan pula, kesukaran untuk meneruskan kehidupan dalam dunia yang serba kejam itu dipaparkan dengan baik sekali.

Iktibar yang aku dapati, betapa mudahnya kita untuk ambil ringan atas keistimewaan suatu nikmat. Hidup di dalam suatu kumpulan membuatkan diri kita saling melengkapi atas tiap kelemahan yang kita ada. Namun, apabila sesorang itu sudah tiada lagi bersama kita, kita akan dapati kesukaran untuk meneruskan kehidupan tanpanya. Bukan itu saja, salah faham adalah perkara biasa antara manusia mengajar diri aku untuk cuba berkomunikasi dengan jelas dari hati ke hati namun, secara sederhana tanpa memaksa. Kita juga sewajarnya membina diri kita sendiri, bukan menjadi seperti orang lain bagi mengambil alih tanggungjawab mereka kerana diri kita ini sendiri sangat istimewa. Sentiasa bersyukur dan rancang dengan teliti suatu tindakan agar kita dapat mengurus diri dengan lebih tenang. Markah aku; 9/10!

P/S: Akan datang aku akan perbaiki lagi gaya penulisan reviu ini supaya dapat sertakan sekali senario yang berlaku daripada anime itu. Namun, aku tak akan jamin bahawa tulisan akan datang bebas daripada spoiler. Tapi, petikan daripada babak sangat penting agar reviu aku ini dapat ditulis dengan lebih jelas bagi orang yang langsung tidak pernah tonton anime yang aku maksudkan terutamanya ketika sesi iktibar yang dipelajari...

Comments

Popular posts from this blog

Hari Kedua dan Ketiga MASISUPA~