Kek Keju Bluberi kegemaranku



Tidak aku sangka pos pertama bergambarku akan berkaitan dengan makanan. Gambar yang ditunjukkan merupakan sebuah pai, bukannya kek kerana aku dapati lebih mudah bagi aku membakar tapak pai yang sedia ada dengan sedikit masa yang aku ada. Ya, pai ini adalah hasil bekas tangan aku sendiri! Aku juga minat memasak, tetapi lebih kepada membuat bakery berbandingkan lauk-pauk yang berat seperti juadah makan malam. Aku sediakan pai ini sehari sebelum hari jadiku kerana aku ingin nikmatinya keesokan hari, jadi aku pulang rumah lewat sedikit untuk membeli bahan masakan bagi membuatnya.


Di pasar yang aku kunjungi, aku dapati mereka turut menjual kek keju bluberi. Tapi apabila aku bandingkan dengan kek keju ceri bagi produk yang sama, aku dapati kek keju bluberi tidak mempunyai logo kosher walhal kek keju ceri tersebut memilikinya. Setelah aku menelaah bahan-bahannya, aku temui satu kandungan yang diragui bersumberkan binatang pada kek keju bluberi tadi. Jadi aku batalkan niat dan teruskan sahaja membeli bahan untuk pai diatas. Rasanya sangat menakjubkan dengan tekstur krim keju yang unik tapi cukup dengan lemak manisnya. Namun rasa kayu manisnya agak kuat pada sos bluberinya. Bagi resepi selanjutnya, boleh rujuk di sini.

Minat memasak aku lahir daripada kecenderunganku menyaksikan kartun di mana protagonisnya seorang yang pandai memasak. Aku nampak kualiti orang yang memasak adalah seorang yang berdikari serta prihatin terhadap orang lain. Namun, aku lebih suka makan makanan yang manis menyebabkan spesifikasi jenis makanan yang aku minat untuk buat merupakan kuih, biskut, kek atau manisan. Manakala di rumah, aku selalu menolong Ibuku di dapur. Ibuku sangat tegas dalam mengajar menyebabkan aku sering dimarahi atas kecemerkapan diriku ini. Sejujurnya, resepi yang sempat aku pelajari daripadanya hanyalah mi goreng, nasi goreng dan sayur goreng. Lucu betul.

Pos kali ini agak ringan, tapi dari sinilah baru rintihan aku bermula. -Kini menetap di negara yang lewat 16 jam waktunya daripada waktu tempatan, aku telah menanam harapan pada kawan-kawan aku untuk mengucapkan selamat hari jadi buat diriku ini. Aku tahu peringatan ulang tahun kelahiran merupakan penanda bahawa kematian itu semakin hampir. Tapi aku tak dapat nafikan kehendak kebudak-budakan yang ada dalam diri aku ini untuk diperingati. Aku akan berasa sangat gembira apabila diucapkan "Selamat hari jadi" dan aku akan menjadi agak sedih apabila ada yang tidak mengucapkannya padaku. Sahabat-sahabat aku ada yang suka mengusik, dan ada yang juga yang mohon maaf apabila terlewat mengucapkannya.

Aku sangat hargainya, tapi ia semua akan kembali pada diriku ini. Perlu sangatkah ucapan tersebut? Kenapa aku sangat sensitif seolah-olah dunia hanya berputar di sekeliling aku? Pasti ada saja yang beringat, tapi tak mengucapkannya kerana tiada keperluan. Aku masih terikat dengan perhatian daripada manusia. Manusia yang umurnya singkat, namun memiliki kehendak yang tidak terbatas. Aku ingin merangkak kembali, mencari suatu yang betul-betul dapat menenangkan diriku yang selalu resah akibat terlalu memikir. Hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang.

Wallahua'lam~

Comments

Popular posts from this blog

Grimgar, Abu serta Khayalan

Hari Kedua dan Ketiga MASISUPA~