Kenapa tiba-tiba muncul kembali?
Satu soalan yang aku juga ingin tahu jawapannya. Kalau diperhatikan, sudah hampir lima tahun aku tidak jengah blog ini. Kawan yang aku hormati pernah sarankan aku ceritakan perihal bumi daun merah di sini. Ibu aku pernah bertanya sama ada aku boleh hubungkan kembali blog ini walaupun berbeza alamat e-mel. Aku baru tahu caranya. Tidak, aku baru ambil tahu bagaimana caranya. Aku sengaja gunakan penulis lain untuk mengisi blog ini sebagai tanda peralihan gaya penulisanku ini daripada yang sebelumnya.
Seolah-olah aku ini orang yang baharu, tapi masih orang yang sama. Pernah terfikir bagaimana begitu mudah seseorang itu berubah-ubah hatinya? Begitu mudah berbolak-balik kalbunya? Adakah seseorang yang kehilangan ingatan sewajarnya menjejak kembali siapa diri lampaunya dan berlakon kembali untuk melegakan orang yang sekitarnya? Apa yang menjadikan diri seseorang ini, adalah individu tersebut seadanya? Jasad atau perwatakan? Ataupun benda lain? Sesuatu yang hanya unik buat mereka, tiada pada orang lain.
Tidakkah tindakan meninggalkan jejak itu merupakan perbuatan mereka yang terdesak? Namun, bukan semua orang merasa begitu. Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama. Aku rasa itu adalah lumrah manusia, memandangkan manusia hanyalah hidup di dunia yang sementara ini. Jadi, adakah aku juga terdesak, ingin menulis sesuatu agar dimanfaatkan oleh orang lain? Aku harap tidak, kerana aku ingin tulis untuk memuaskan fikiran aku yang suka berhalusinasi; seringkali mencipta beraneka senario dan skrip. Untuk melepaskan rintihan dan menyampaikan rasa kagum terhadap mereka jujur pada diri sendiri.
Aku kembali di sini kerana aku peroleh lebih kepuasan menulis barbandingkan daripada di pelantar lain. Aku berasa seperti perlu memenuhi jangkaan, serta harapan orang lain. Malah pada pelantar sana disiarkan beberapa indikator seperti betapa terkenalnya kamu, betapa kamu diterima orang, bagaimana penglibatan orang lain terhadap tulisan kamu; adakah mereka sukakannya atau kagum dengannya. Aku berasa rosak kerana niat aku untuk berkongsi berlarutan bertukar memancing perhatian kawan-kawanku. Aku bersyukur kerana masih berupaya mengingatkan diri untuk muhasabah, mencari semula tautan keikhlasan.
Akhir kalam, aku ingin pembaca semua hanya kekal menjadi silent reader supaya aku akan berasa hampa setiap kali semak semula blog ini. Rasa hampa kerana tiada orang beri suapan kembali, atau sebarang pendapat mengenai tulisan ini. Supaya dapat memberi kebebasan dan kesedaran buat diri ini. Oh ya, aku juga menulis dalam blog semula rentetan membaca blog orang yang aku hargai, bagaimana dia meluahkan masalah dan isi hatinya walaupun penyampaiannya besederhana dan tidak terlalu emosi. Aku berharap suatu hari nanti aku akan menjadi tempat luahan tersebut, meskipun aku akui aku bukannya pendengar yang baik.
Wallahua'lam~
Comments
Post a Comment