Tangisan seorang Permaisuri...

Air mata adalah senjata emosi yang agak menggerunkan. Ada kalanya air mata berlinangan tanda rasa gembira kerana hati tersentuh. Ada kalanya juga air mata bergenang di bucu kelopak mata akibat ketakutan. Namun kerap kali air mata dikeluarkan apabila hati berasa sedih. Berasa sedih atas sebab kecewa dengan diri ini, kecewa atas pengharapan yang dimusnahkan.

Aku tahu kesalahan yang aku lakukan itu amat besar. Aku cuba lawannya namun aku kalah. Detik keinginan menguasai diriku, lantas mengaburkan sempadan rasional yang telah lama aku pertahankan. Walaupun ia berlaku sekelip mata, mengingatkannya kembali membuatkan aku berasa malu dengan diriku ini yang berkali-kali berjanji agar tidak mengulanginya kembali. Mungkin kerana trauma yang menghantui membuatkan aku ingin orang lain turut merasainya. Aku bertukar daripada mangsa menjadi pemangsa.

Apabila disebutkan perkataan "Maksiat", umumnya masyarakat Melayu hanya akan melihat kesalahan yang cenderung kepada budaya kuning. Aku juga bersangka demikian suatu ketika dahulu. Tapi hakikatnya maksiat adalah segala perbuatan yang melanggar perintah Allah dari sekecil-kecil membuang sampah merata-rata, mahupun berbohong kepada anak kecil yang tidak tahu membezakan baik dan buruk. Maksiat bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan. Namun apabila suara ramai mula mencipta gelombang penerimaan, suatu yang ringan mula dipandang remeh bagi dialihkan perhatian kepada isu yang kononnya besar.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dan dia telah 
berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, 
maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Maka pendosa sewajarnya lafazkan istighfar dan kerap kali mohon pengampunan daripada Tuhan. Semoga mati itu dalam keadaan sempat bertaubat setelah terlanjur lakukan maksiat. Aku pernah penat melakukan ini. Aku pernah mempersoalkan Takdir sehinggakan aku bertanyakan kepada para ilmuwan, menjengah beberapa buku bagi melegakan kebingungan yang aku alami. Kenapa seseorang itu diuji dengan sesuatu yang mereka mampu tanggung? Kenapa seorang hamba yang berjauhan dengan tuannya akan terumbang-ambing dalam pelayaran hidupnya? Hanya dengan akidah dapat mengatasi kemahuan akal yang terhad.

Apabila kejahatan seseorang terdedah, dirinya mungkin akan rasa bersalah. Aku bersyukur masih dapat merasai itu. Hanya mereka yang betul-betul menyayangi aku kecewa akan diriku ini, namun masih dapat menerimaku seadanya. Kata-kata nista yang penuh dengan penghampaan dilontarkan padaku kerana aku telah siat-siat kepercayaan yang diberi. Air matanya mengalir dengan sayu seolah-olah telah berputus asa. Aku pahatkan ini supaya aku beringat, bahawa dia mungkin maafkan aku, tapi tak akan sesekali melupakannya. Akanku tersenyum apabila mereka seringkali ingatkan diri ini, "Jaga maruah diri."

Wallahua'lam~

Comments

Popular posts from this blog

Grimgar, Abu serta Khayalan

Hari Kedua dan Ketiga MASISUPA~