Jangan malu bertanya, jika tidak ingin menyesal kelak


Aku ingat lagi, sehari sebelum kejadian aku baru dapat tahu barang yang kita tempah melalui pembelian atas talian perlu di-track sendiri melalui nombor yang dibekalkan. Setelah aku dapati sarung tangan putih yang aku beli telah tiba di pejabat pos, aku merancang untuk mengambilnya keesokan hari setelah tamat sesi pertama kelasku. Itu sahaja masa yang aku ada memandangkan kelas seterusnya berlangsung pada petang tersebut pula. Jadi keesokannya aku bertolak menaiki bas dari Universiti, namun aku tinggalkan basikalku di sini kerana aku akan kembali. 

Tapi, aku bawa sekali bersamaku beg galas yang berisi buku-buku dan beg yang berisi dengan helmet basikal dan sarung tangan kerana aku tiada tempat untuk menyimpannya buat sementara. Di dalam bas, aku teruja kerana aku bakal menjadi satu-satunya penumpang bas pada pagi tersebut. Namun, sebelum bertolak ada lagi dua penumpang sempat naik dan salah seorang daripadanya kawan Mesirku di sini. Kami berbual sepanjang perjalanan dan dia turun setelah beberapa perhentian dan bas mula berisi dengan penumpang-penumpang lain. Aku masih tidak biasa dengan laluan dalam bas ini dan apabila perhentian aku tiba, aku terus turun bas. 

Mungkin kerana teruja untuk mendapatkan barang yang telah aku beli di atas talian buat kali pertama. Aku sedar sesuatu. Sesuatu yang tiada lagi pada diri aku. Ya, aku tertinggal beg aku. Bukan beg yang aku galas, tetapi beg yang aku pipih. Beg yang mengandungi helmet basikal dan sarung tangan. Aku risau kerana helmet itu bukan milikku tapi hanyalah pinjaman daripada tuan rumah. Setelah aku dapatkan pembelian aku, aku menunggu bas pulang ke Universiti semula. Aku risau beg itu akan hilang, jadi aku harap aku dapat naik kembali bas yang aku naiki ke sini sebentar tadi.

Setiap kali aku naik, aku semak tempat duduk yang aku duduki sebelum ini. Apabila aku dapati tiada, aku turun di perhentian seterusnya. Nasib tidak beberapa baik, salji mula turun dan suhu sejuk mula menyelubungi perhentian bas tersebut. Aku terpaksa menunggu dalam 15 minit untuk bas seterusnya tiba. Aku naik lagi dan perhatikan orang lain pula telah duduk di tempat aku sebelum ini. Kemudian aku turun dan bergelumang dalam keputihan yang dingin untuk selama 15 minit lagi. Aku tahu ada ikhtiar lebih mudah, tapi aku lebih suka berusaha sedaya upaya dulu sebelum bertindak ambil risiko. Setibanya aku di Universiti, aku tercegat di hadapan pintu bas.

Aku teragak-agak untuk bertanya. Muka pemandu itu kelihatan bengis dan tidak mesra pelanggan. Aku takut. Penumpang sudah mula membanjiri masuk untuk meneruskan perjalanan mereka. Aku risau aduanku akan melambatkan perjalanan mereka. Aku sendirian, malah bukannya individu yang penting pun. Aku mundar-mandir di dalam bas sekitar pintu masuk bersebelahan pemandu tersebut. Meskipun malu atas kecemerkapan diri ini, aku beranikan diri untuk memaklumkan padanya masalahku. 

Setelah aku memerikan rupa beg aku dan kandungannya, dia membuat panggilan kepada ibu pejabat. Dalam perbualan mereka, aku tersenyum kerana pihak mereka ada menerima barang tersebut. Panggilan tersebut diakhiri dengan kalimah pemandutersebut yang membuatku tercuit hati. "The item has been found and our customer is smiling here at our end." Setelah aku meminta alamat di mana aku patut tuntut barang tersebut, aku berterima kasih kepadanya kerana sudi melayan aku. Aku bersyukur kerana diberi kekuatan untuk bertanya. Aku pasti kalau aku berdiam diri sahaja pada hari itu, aku akan menyesal sehingga ke hari ini.


Comments

  1. Tak sangka ada bakat dalam menulis sedemikian rupa.Masih lagi menulis dalam bahasa melayu asli amat sukar dicari sekarang ini.Teruskan luahkan perasaan yang terpendam dalam diri anda.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Grimgar, Abu serta Khayalan

Hari Kedua dan Ketiga MASISUPA~