Susahnya nak baca tulisan rumi!

Penulisan bahasa Melayu moden dan bahasa Inggeris berkongsi aksara yang sama, iaitu penggunaan tulisan rumi. Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa membuatkan penggunaannya dalam komunikasi sangat berpengaruh dan meluas. Namun, kita lupa bahawa dahulukala penggunaan bahasa Melayu ditulis dalam tulisan jawi. Tulisan jawi amat unik kerana ia seolah-olah bertindak sebagai extension daripada huruf asal dalam bahasa Arab sehinggakan Tanah Melayu pernah berjaya menjadi suatu pusat perdagangan dan pertukaran ilmu yang mahsyur dengan perantara lingua franca dalam kalangan masyarakat.

Apa yang aku ingin rungutkan kali ini adalah masalah yang kuhadapi terhadap penggunaan huruf rumi untuk menulis perkataan arab dalam teks khutbah. Khutbah di bumi Daun Merah ini perlu disampaikan dalam bahasa Inggeris dan aku telah mencalonkan diriku aku sebagai khatib sukarelawan di menara gadingku. Atas sebab kesuntukan masa untuk menyediakan teks sendiri, aku meminta pihak "penganjur" untuk menyediakan teks khutbah untuk kubaca sebagai syarat bagiku menjadi khatib. Namun pada minggu aku diminta bertugas, aku hanya peroleh teks tersebut pada hari Khamis, softcopy

Dengan kelam-kabut, aku cuba membacanya seimbas lalu ketika aku makan malam. Aku ingin menyemak sebutan dan kelancaran aku berpidato dalam bahasa asing ini. Aku juga ingin memastikan jeda aku tepat agar tidak tergagap dan terelak daripada menimbulkan salah faham pada sidang Jumaat. Jadi aku mula membaca dengan suara lantang sambil mengintai masa untuk aku peruntukkan pembacaan khutbah. Aku terkejut. Aku terkejut dengan penulisan beberapa ayat al-Quran dan potongan hadith dengan huruf rumi walaupun tidak semua. Aku beruntung kerana beberapa ayat tersebut aku dapat kenal pasti bagaimana cara sebutannya, namun aku kecewa kerana penggunaan huruf rumi tersebut tidak beberapa konsisten.




Aku tahu ini datang daripada kelemahan perbezaan aksara dalam proses penulisan dua bahasa yang berlainan. Tapi setahu aku, terdapat sistem yang lebih bagus di mana setiap huruf bahasa Arab telah digandingkan dengan penulisan huruf rumi yang sewajarnya. Sistem tersebut lebih konsisten dan sekurang-kurangnya boleh membuatku analisa teks itu sendiri bagi mencari corak gabungan huruf rumi apakah yang membawa kepada huruf Arab di sini. Namun ini tidak. Penulisan ini seolah-olah gaya pencakapan seorang yang sangat baku serta tidak bersungguh dalam melaksanakan tugasnya. Aku memaki hamun teks ini ketika berlatih membacanya meskipun ia sewajarnya membawa unsur keagamaan dan nasihat. Penulis telah berjaya menyusahkan aku, membuatkan aku terpaksa menelaah beberapa laman dalam mencari matan hadith dan perkataan-perkataan arab.

Perkara ini tidak dapat dielakkan. Oleh itu aku sentiasa beringat untuk membuat persiapan terlebih dahulu agar aku tidak mudah tersempit dalam situasi yang boleh menyebabkan aku stres. Ada orang lebih cekap apabila bertugas dalam situasi yang tegang, namun aku tergolong dalam orang yang lebih selesa dalam menjalankan tugas dengan tenang. Kemudian, seusai tamat aku menjalani sesuatu, aku boleh tawakkal dengan senang dan pujuk diriku setelah terima keputusan daripadanya. Aku tahu, aku dah buat yang terbaik. Tapi, aku tak nafikan bahawa aku agak tertekan apabila mendengar pandangan orang lain terhadap harapan mereka padaku walaupun aku sedar yang mereka hanya inginkan kebaikan buat diriku. Mungkin aku masih ambil mudah? Aku boleh lagi buat lebih baik?

Wallahua'lam~

Comments

Popular posts from this blog

Grimgar, Abu serta Khayalan

Hari Kedua dan Ketiga MASISUPA~